2/03/2009

Peralatan Dalam Sistem Rangkaian Komputer

File Server - Pelayan Fail
File server merupakan jantung bagi semua rangkaian. Ia adalah komputer yang laju dan mengandungi jumlah RAM serta ruang menyimpan yang besar disamping kad antaramuka yang laju. Operating system software (perisian sistem pengendalian) tersimpan dalam komputer ini. Disamping itu juga semua perisian aplikasi dan fail data yang dikongsi juga tersimpan di sini.
File server mengawal hubungan maklumat antara nod dalam rangkaian. Sebagai contoh, komputer akan mengawal apabila kita menghantar perisian pemproses kata ke satu setesen kerja lain, menerima fail pangkalan data dari stesen kerja lain dan menyimpan pesanan e-mel dalam masa yang sama. Ini menyebabkan kita memerlukan komputer yang boleh menyimpan maklumat yang banyak dan boleh berkongsi dengan lain dalam tempoh yang singkat.

Antara ciri-ciri yang perlu ada dalam File server ialah :
pemproses mikro yang laju ( contoh: Pentium )
cakera keras yang laju sekurang-kurangnya empat gigabytes
RAM sekurang-kurangnya 32 MB
kad antara muka yang laju
slot tambahan yang banyak
unit pita sokongan (tape back-up)
RAID (Redundant Array of Inexpensive Disks) untuk menjaga data apabila berlaku kerosakan data
Workstation - stesen kerja
Semua komputer yang bersambung dengan file server dipanggil workstation. Semua komputer workstation mengandungi kad antaramuka rangkaian, perisian rangkaian dan kabel yang sesuai. Workstation tidak perlu pemacu cakera liut atau pemacu cakera keras sebab fail-fail boleh disimpan dalam file server. Kebanyakan komputer boleh berfungsi sebagai stesen kerja.

Network Interface Cards - Kad Antara Muka Rangkaian
Network Interface Cards (NIC) merupakan penyambungan fizikal antara rangkaian dengan komputer stesen kerja. Kebanyakan NIC dimasukkan dalam komputer pada salah satu slot tambahan. NIC adalah penentu bagi kelajuan dan kecekapan sesuatu rangkaian. Adalah lebih baik menggunakan NIC yang laju mengikut jenis rangkaian yang digunakan.
Jenis NIC yang biasa digunakan ialah kad Ethernet, LocalTalk dan kad Token Ring. Menurut kajian International Data Corporation Ethernet yang paling popular diikuti oleh Token Ring dan LocalTalk (Sant'Angelo, R.(1995). Netware Unleashed, Indianapolis, IN:Sams Publishing)

Ethernet Cards
Kad ini dibeli berasingan. Ia boleh disambung dengan kabel sepaksi (coaxial), twisted pair atau fiber optics. Bergantung kepada jenis sambungan dan port sambungan iaitu BNC atau RJ45. Sebahgian kad Ethernet mengandungi penyambung AUI. Ia boleh digunakan untuk kabel sepaksi, pasangan terpiuh dan serabut gentian kepada kad Ethernet. Jika kaedah ini digunakan maka alat 'transceiver' perlu disambung kepada stesen kerja.

Concentrators / Hubs - Penumpu
Concentrator atau Penumpu adalah peranti penyambungan bagi semua kabel yang bersambung antara stesen kerja, pelayan dan persisian. Dalam topologi bintang, kabel pasangan terpiuh digunakan untuk menyambung dengan stesen kerja dan penumpu. Hub pula ialah penumpu berbilang slot. Dengan hub kita boleh memasang bilangan rangkaian yang banyak mengikut saiz yang dikehendaki. Sesetengah penumpu bersifat pasif, iaitu membenarkan isyarat yang berpindah dari komputer kepada komputer lain tanpa perubahan. Penumpu yang aktif akan membesarkan isyarat apabila melaluinya dari satu peranti kepada peranti lain. Concentrator aktif digunakan sebagai repeater jika hendak menjarakkan rangkaian. Ciri-ciri penumpu ialah:
tatarajah berasaskan port 8, 12, atau 24 RJ45
digunakan dalam topologi bintang atau gelang bintang berdawai (star-wired ring)
dijual bersama perisian untuk menguruskan port
dipanggil juga sebagai hub
kebiasaannya dimuatkan dalam kotak logam supaya boleh dimasukkan bersama modem internet, bridges dan routers
Repeaters
Repeater adalah peranti yang menguatkan isyarat rangkaian apabila melaluinya. Ia disebabkan isyarat yang bergerak dalam kabel semakin lama semakin lemah. Penyambungan peranti ini boleh diasingkan atau digabungkan dalam concentrator. Ia digunakan apabila jumlah panjang kabel rangkaian melebihi had piawai kabel yang digunakan.
Contoh biasa kegunaan repeater dalam LAN ialah rangkaian yang menggunakan topologi bintang dengan kabel pasangan terpiuh tak berdinding. Had panjang kabel ialah 100 meter. Iaitu tatarajah biasa bagi setiap stesen kerja yang disambung dengan kabel jenis ini kepada penumpu aktif port berbilang dimana Penumpu menjana semula semua isyarat yang melaluinya pada jarak yang melebihi 100 meter.
Bridges
Bridge atau tetimbang ialah peranti yang membahgikan satu segmen rangkaian komputer kepada dua rangkaian kecil supaya lebih cekap. Tetimbang boleh digunakan jika kita ingin menambah rangkaian baru kepada rangkaian lama yang sedia ada.
Tetimbang mengawal perjalanan maklumat kedua-dua belah rangkaian supaya paket maklumat sampai ke lokasi yang betul. Kebanyakan tetimbang boleh mengesan rangkaian dan dengan automatik membetulkan alamat setiap komputer kedua-dua belah tetimbang. Ia juga boleh memeriksa setiap pesanan dan jika dikehendaki ia juga boleh memancarkan ke bahagian rangkaian lain.
Tetimbang mengurus perjalanan data untuk menyetabilkan kecekapan kedua-dua belah rangkaian. Kita boleh menganggap tetimbang sebagai polis lalu lintas ketika jalan raya sibuk. Ia mengawal pengaliran maklumat kedua-dua belah rangkaian tetapi tidak membenarkan lalu lintas yang tidak berkenaan. Tetimbang boleh digunakan untuk menyambung kabel yang tidak sama jenis atau topologi berbeza. Bagaimana pun protokol kedua-dua rangkaian mestilah serupa.
Routers
Router bertugas menterjemahkan maklumat daripada satu rangkaian kepada rangkaian lain. Ia merupakan tetimbang cerdas. Router memilih laluan terbaik untuk melalukan pesanan berasaskan alamat dan asalan destinasi. Router boleh mengarahkan laluan untuk mengelakkan pelanggaran maklumat. Dengan kecekapannya ia cepat memintaskan laluan mengikut jalan lain.
Jika tetimbang tahu semua alamat komputer, tetimbang dan router lain dalam setiap bahagian rangkaian, Router pula boleh mengesan seluruh rangkaian untuk menentukan bahagian manakah yang sibuk untuk mengubah laluan data ke bahagian lain sehingga laluan tidak sibuk.
Bagi Rangkaian yang mempunyai LAN untuk disambung ke Internet, pemasangan router adalah cara yang lebih berkesan. Kerana router bertindak sebagai penterjemah antara maklumat LAN dengan Internet. Ia juga menentukan laluan terbaik menghantar data ke Internet. Antara kebaikan router yang lain ialah:
cekap mengarahkan laluan isyarat
memandu pesanan mana-mana dua protokol
memandu pesanan topologi bas linear, bintang dan gelang bintang berdawai
memandu pesanan merentas kabel gentian optik, sepaksi dan pasangan terpiuh.
Router mengandungi komponen hardware dan juga software contohnya bagi router Cisco software yang digunakan bernama Cisco IOS (Internetworking Operating System). Hardware sebuah router terdiri daripada CPU contohnya Cisco router 2505 menggunakan processor 20MHz Motorola 68EC030.Selain dari itu ia juga mempunyai komponen memori seperti ,NVRAM,flash RAM dan juga RAM. Sambungan ke peralatan network lain menggunakan ports.

JENIS-JENIS RANGKAIAN
Jenis-jenis rangkaian sebenarnya ditakrifkan mengikut lingkungan geografi sesuatu rangkaian itu. Selain daripada itu, perbezaan di antara skema rangkaian-rangkaian tersebut turut melibatkan jarak dan orientasi. Biasanya, ia berorientasikan kerangka pusat dan menggunakan talian telefon atau bergantung kepada geganti gelombang mikro untuk menghantar data. Terdapat tiga jenis rangkaian komputer yang asas iaitu:

1. Rangkaian Kawasan Setempat (Local Area Network - LAN)
2. Rangkaian Kawasan Metropolitan (Metropolitan Area Network - MAN)
3. Rangkaian Kawasan Luas (Wide Area Network - WAN)
1 RANGKAIAN KAWASAN SETEMPAT (LAN)
Rangkaian jenis LAN ini biasanya terhad kepada batasan geografi yang kecil misalnya rangkaian yang meliputi sesebuah bangunan, sekolah, pejabat atau kampus. Fungsi asas LAN sebagai satu rangkaian yang menghubungkan sebilangan komputer di dalam kawasan yang terhad seperti di dalam kampus universiti, di dalam sesebuah bangunan dan di dalam bilik serta kerapkali dihubungkan dengan komputer kerangka utama atau minikomputer. Namun begitu, jarang sekali rangkaian LAN meliputi kawasan yang lebih daripada satu batu jaraknya.Komputer-komputer ini dapat dihubungkan dengan pelbagai kaedah seperti kabel pasangan terpiuh atau berpintal, gentian optik, talian telefon dan cahaya inframerah serta isyarat radio.
Setiap topologi perlu melaksanakan kerja yang sama. Situasi yang paling biasa ditemui oleh rangkaian ialah mesej dari satu komputer ke satu komputer yang lain atau arahan supaya menjalankan atur cara yang tersimpan di dalam rangkaian. Data atau atur cara yang diminta oleh mesej mungkin disimpan pada komputer yang digunakan oleh seseorang rakan sekerja dalam rangkaian atau pada pelayan fail (server), suatu komputer khusus. Pelayan fail biasanya adalah merupakan komputer berkuasa tinggi dan mempunyai pemacu cakera keras yang tidak digunakan secara eksklusif oleh individu pada rangkaian itu serta cakera padat (CD drive). Pelayan fail juga seharusnya mempunyai storan semua perisian yang mengawal pengurusan sesuatu sistem rangkaian itu.
Selain daripada itu, pelayan fail wujud hanya untuk melayan semua komputer lain yang berada di dalam sistem rangkaian tersebut. Komputer-komputer yang disambung kepada pelayan fail dikenali sebagai stesen kerja (workstations). Stesen kerja tidak semestinya berkuasa tinggi seperti pelayan komputer namun begitu, komputer-komputer tersebut boleh mempunyai perisian tambahan pada cakera keras masing-masing. Manakala, setiap satu komputer yang menggunakan khidmat pelayan fail dikenali sebagai pelanggan (client). Pencetak boleh juga disambung kepada rangkaian supaya ia boleh dicapai oleh semua pelanggan LAN.
Untuk menggunakannya, rangkaian mestilah menerima permintaan daripada komputer individu atau nod yang dihubungkan pada rangkaian dan ia mestilah mempunyai cara untuk mengendalikan permintaan serentak bagi perkhidmatannya. Sebaik sahaja komputer mendapat perkhidmatan rangkaian, ia haruslah mempunyai cara untuk menghantar mesej dari satu komputer kepada komputer yang lain supaya ia hanya menuju kepada nod yang diperlukan dan tidak muncul di komputer yang lain.
Rangkaian pula mestilah melakukan semua ini secepat mungkin sambil memberi perkhidmatannya secara serata mungkin mengikut giliran di antara nod lain di dalam LAN.
Terdapat tiga jenis rangkaian topologi yang biasa digunakan di dalam tatarajah LAN bagi rangkaian pelanyan-pelanggan. Rangkaian-rangkaian tersebut ialah:
1. Topologi Bas atau Linear Bas (Bus or Linear Bus)
2. Topologi Bintang (Star) atau Labah-labah (Spider)
3. Topologi Gelang Token (Token Ring)
2 RANGKAIAN KAWASAN METROPOLITAN (MAN)
Rangkaian Kawasan Metropolitan (Metropolitan Area Network-MAN) lazimnya meliputi suatu kawasan geografi yang agak luas berbanding dengan rangkaian yang diliputi oleh LAN. Rangkaian MAN biasanya beroperasi di bandar-bandar, gabungan beberapa buah sekolah ataupun di sesebuah daerah. Dengan menjalankan suatu rangkaian perhubungan yang sederhana besarnya di dalam lingkungan susun atur geografi yang besar, informasi dan maklumat dapat disebarkan dengan meluas, cepat dan berkesan.
Perpustakaan-perpustakaan awam dan agensi-agensi kerajaan biasanya gemar menggunakan MAN untuk berhubung dengan warga setempat dan pihak pengurusan sektor swasta. Satu contoh penggunaan MAN ialah di Pasco County yang terletak di Florida, Amerika Syarikat. Rangkaian MAN di sini dikenali sebagai ‘the MIND Network’ yang mana rangkaian tersebut berfungsi menghubungkan semua pusat media Pasco kepada komputer kerangka utama berpusat (centralized mainframe) yang terletak di pejabat daerah dengan menggunakan talian telefon, kabel koaksial, alat perhubungan tanpa tali (wireless communications providers).
Di dalam bidang perniagaan contohnya, satu komputer peribadi menghantar data kepada satu minikomputer atau kerangka utama. Oleh kerana, komputer-komputer yang lebih besar atau berkuasa tinggi sememangnya direka sebagai pelayan (server), ia berfungsi membenarkan mana-mana laluan masuk sesebuah terminal, sesebuah komputer peribadi itu boleh berkomunikasi dengan sebuah minikomputer atau kerangka utama.
Ini akan hanya berlaku jika komputer peribadi tersebut boleh bersaing atau menyerupai sebuah terminal. Oleh yang demikian, rangkaian ini akan berjaya apabila komputer peribadi itu dilengkapkan dengan terminal emulation software. Komputer yang lebih besar itu kemudiannya mengtanggapi komputer peribadi atau stesen kerja itu sebagai satu pengguna lain di dalam rangkaian perantaraan komunikasi input-output.
Apabila komputer yang lebih kecil disambungkan ke komputer ke komputer yang lebih besar, perhubungannya dirujuk sebagai perhubungan mikro-ke-kerangka utama. Komputer besar di mana terminal atau komputer peribadi disambungkan dikenali sebagai komputer hos. Jika sebuah komputer peribadi itu digunakan sebagai terminal, perisian memindahkan fail (file transfer software) membenarkan pengguna untuk memindahkan fail (download) dari hos ataupun menghantar data ke hos (upload). Download file bererti membuka dan mengambil data dari sebuah komputer peribadi yang lain dan menghantar data ke komputer yang berkenaan yang diminta oleh pengguna. Upload file pula bererti pengguna membuka fail data dan menghantarkannya ke sebuah komputer yang lain.
3. RANGKAIAN KAWASAN LUAS (WAN)
Rangkaian Kawasan Luas (Wide Area Network – WAN) menghubungkan suatu kawasan yang lebih luas dari segi geografinya, contohnya menghubungkan Florida, Amerika Syarikat dengan dunia.
Rangkaian WAN berupaya menghubungkan sekolah-sekolah di Florida dengan tempat-tempat lain di dunia contohnya Tokyo dalam hanya beberapa minit sahaja, tanpa perlu menyediakan sejumlah wang yang besar untuk membayar bil telefon. Namun begitu, rangkaian WAN ini agak rumit dan kompleks. Ia memerlukan pelbagai perkakasan dan perisian sebelum membolehkan rangkaian setempat dan metropolitan berhubung dengan komunikasi secara global dan antarabangsa seperti Internet. Secara lahirnya, rangkaian WAN kelihatan hampir serupa dan tidak banyak bezanya dengan LAN atau MAN.
Rangkaian Kawasan Luas yang tipikal memgabungkan dua atau lebih Rangkaian Kawasan Setempat dan biasanya melibatkan suatu kawsan geografi yang luas. Contohnya, satu syarikat yang mempunyai ibu pejabat di suatu tempat, kilang di suatu tempat yang lain dan gabungan pemasaran di suatu kawasan yang agak jauh dari kedua-dua kawasan tersebut.

0 comments: