2/26/2009

SIRI POLITIK DUNIA

Di Ambang Kejatuhan Empayar Amerika


Sekiranya umat Islam peka serta memahami putaran sejarah, ini adalah zaman kebangkitan Islam. Kebangkitan ini adalah besar dan bakal menuju empayar yang bakal dipimpin oleh Al Mahdi. Dalam sejarah putaran kuasa-kuasa dunia memang Tuhan lakukan silih berganti. Di sini tidak perlu dibahaskan panjang lebar. Kita umat Islam hanya perlukan keyakinan terhadap kerja dan peranan Tuhan terhadap kuasa-kuasa dunia. Apa yang lebih penting bagi kita ialah apakah sumbangan dan pengorbanan kita dalam arus kebangkitan ini. Apakah kita hanya mahu menjadi penonton semata-mata dan bersikap tunggu dan lihat.

Selama ini Amerika Syarikat merupakan sebuah kuasa besar yang diibaratkan sebuah empayar. Hanya bezanya negara-negara lain tidak bernaung dibawah AS secara politik serta pentadbiran. Namun rata-rata negara lain sangat bernaung di bawah telunjuk AS termasuk kebanyakan negara umat Islam. Seluruh sistem dunia sangat di pengaruhi oleh AS. Sudah sampai masanya Tuhan runtuhkan satu kuasa yang selama ini sangat menghuru-harakan dunia.
Kebanyakan negara termasuk negara umat Islam merasa resah dan bimbang dengan kejatuhan ekonomi AS. Keresahan dan kebimbangan tersebut membuktikan selama ini negara-negara dunia termasuk negara umat Islam sangat bergantung kepada kestabilan ekonomi AS. Bagi kita umat Islam sepatutnya kejatuhan ekonomi AS tidak mengejutkan, tidak resah dan tidak bimbang. Ini kerana kita umat Islam sepatutnya faham dan sepatutnya sudah menjangka lebih awal bahawa seluruh sistem dunia tidak akan dapat bertahan selamanya. Tuhan sudah sebut dalam Al Quran yang Tuhan ibaratkan sistem dunia bikinan manusia semuanya sebagai sarang labah-labah.
Kita umat Islam juga patut faham dan yakin apabila sampai masa Tuhan mahu tamatkan sebuah kuasa atau empayar, maka Tuhan runtuhkan terlebih dahulu sistem ekonominya. Apabila ekonomi AS lemah maka keyakinanan dunia kepada AS akan turut terhakis. Apabila kuasa ekonomi AS lemah maka sistem lain akan turut lemah. Kesannya akan kuranglah pergantungan negara lain kepada AS. ‘Terlunjuk’ AS tidak lagi ‘berbisa’. Ini yang sedang Tuhan lakukan kepada AS. Dan apabila induknya iaitu AS runtuh, maka negara-negara lain akan menunggu giliran untuk mengalami nasib yang sama. Kalau situasi ini masih tidak menyedarkan umat Islam, maka nasib yang bakal menimpa akan lebih parah berbanding AS sendiri.
Kejatuhan AS secara mutlak memanglah belum lagi. Kejatuhan ekonomi itu baru satu permulaan. Ianya sangat bergantung kepada sejauh mana umat Islam bersedia untuk menjadi alternatif. Berlakunya umpama jongkang jongkit. Semakin kuat iman dan taqwa umat Islam, akan semakin jatuhlah AS. Faktor iman dan taqwa umat Islam menjadi faktor penting untuk Tuhan berbuat bagi menjatuhkan musuh-musuhNya. Masalahnya ialah umat Islam tiada keyakinan terhadap janji Tuhan kepada orang bertaqwa. Lantaran itu faktor taqwa tidak diambil kira untuk Tuhan jatuhkan AS.
Sepatutnya umat Islam jadikan Saddam Hussin sebagai iktibar. Kalau hanya semata-mata bergantung bulat-bulat kepada kekuatan lahiriah, siapa pun akan menerima padah di tangan AS dan kuasa-kuasa barat. Di sinilah perlunya umat Islam yakin sungguh-sungguh kepada melawan musuh Tuhan mesti dengan bantuan Tuhan. Waktu ini cuba kita lihat kepada diri kita serta seluruh umat Islam, siapa atau golongan mana atau di mana terdapat orang yang iman dan taqwa mereka sangat di pandang oleh Allah SWT. Kalau tiada, maka munasabah hingga kini tiada bantuan Tuhan kepada umat Islam.
Apabila kita memperkatakan tentang iman dan taqwa sebagai faktor penting, akan ada pihak lain dikalangan umat Islam yang akan menyanggah atau mempertikaikan atau menghujah kembali dengan berbagai idea dan pandangan lain. Ertinya, halangan umat Islam yang paling awal bukan datangnya dari musuh-musuh Allah. Tetapi datangnya dari kalangan umat Islam sendiri. Jadilah umat Islam ini dimana saja asyik berpolemik, berbahas, berbantah, berselisih, bermujadalah tanpa ada penyelesaian. Musuh-musuh Allah bertepuk tangan dan bergelak ketawa menonton gelagat dan telatah watak kartun di kalangan umat Islam termasuk para ulama.
Apabila persoalan Al Mahdi dilontarkan, cuba kita lihat bagaimana reaksi dan respon umat Islam termasuk para ulama. Kerana tiada keyakinan, persoalan yang sepatutnya disambut dengan penuh kesyukuran bagi memantapkan keimanan dan ketaqwaan umat Islam, bertukar menjadi negatif dan terus terpinggir serta lenyap begitu saja. Masing-masing akan menonjolkan kecerdikan akal berbahas yang akhirnya persoalan Al Mahdi itu menjadi sesuatu yang amat menakutkan. Jarang sangat yang mahu membuka hati dan berlapang dada, berfikir secara sejuk dan dingin lantas kembali kepada kebenaran. Kalau pun terdapat perbezaan pendapat, sepatutnya kembali saja kepada adabul khilaf. Nampaknya umat Islam belum mampu lagi untuk mengambil manfaat yang amat besar sekiranya perbezaan pendapat itu menjadi rahmat – Ikhtilafu ummati rahmatun. Perkara yang sepatutnya menjadi rahmat telah bertukar menjadi azab dan bala. Ingatlah AS akan jatuh. Jongkang Jongkit juga perlu difahami dan diusahakan hingga terjadi dan berjaya.
Ekonomi dunia dijangka pulih akhir 2009. Itu pun sangat bergantung kepada pulihnya ekonomi Amerika. Bagimana agaknya kalau dalam tempoh pemulihan ekonomi era Obama, Israel tawar hati dengan Amerika dan berubah selera lalu bersekongkol dengan negara-negara lain? Umpamanya Israel berganding dengan Eropah dan Cina bagi melumpuhkan Amerika. Ini bukan mustahil berlaku kerana sudah sampai masanya Tuhan mahu hancurkan induk demokrasi kapitalis. Tuhan lakukan melalui tangan-tangan mereka sendiri.
Runtuhnya ‘empayar’ Soviet dulu pun bermula dengan angin perubahan yang diperkenalkan oleh Presiden Gorvechev. Mungkin bibit-bibit kejatuhan ini menjadi titik mula AS bakal menjunam keseluruhannya. Maka bermulalah jatuhnya sebuah lagi ‘empayar’ zalim yang selama ini terlalu banyak dosa dalam menjadikan dunia huru hara. Selama ini sudah berbagai bentuk bencana yang menimpa AS, silih berganti tanpa henti, namun belum cukup untuk menjadi iktibar. Seperti Firaun sebelum kejatuhannya Tuhan datangkan berbagai bencana, namun tidak dihiraukan oleh Firaun.
Begitulah caranya yang mungkin Tuhan lakukan. Dan selepas itu giliran Israel pula Tuhan lumpuhkan melalui gandingan Cina dan negara-negara Islam. Jongkang jongkit ini sedang dan terus berlaku hingga akhirnya Tuhan perlihatkan keajaibanNya menjadikan dunia aman makmur dan mendapat keampunan Allah.
Hari ini dunia telah menyaksikan AS berubah dengan kenaikan Obama. Selepas ini dunia bakal menyaksikan berbagai keajaiban yang lebih besar lagi yang Tuhan lakukan. Bukankah Tuhan itu Maha Ajaib. Perubahan dunia akan terjadi, tetapi bukan ditangan Obama, tetapi ditangan orang yang Tuhan pilih kepada siapa yang Tuhan kehendaki. Bukan pilihan menusia tetapi pilihan Allah. Pada waktu ini kuasa politik dan kuasa ekonomi beralih ke Timur. Hanya perlu difahami bahawa apabila induk demokrasi kapitalis musnah maka yang lain akan turut musnah. Bersedialah untuk mengganti sistem yang musnah itu dengan sistem yang membawa kedamaian dan keharmonian kepada dunia.

0 comments: